Lebah

Lebah merupakan sejenis serangga terbang sosial yang hidup berkelompok. Terdapat kira-kira 20,000 spesies lebah, dan ia boleh didapati di setiap benua, kecuali Antartik.
Sebagai serangga, ia mempunyai tiga pasang kaki dan dua pasang kepak. Lebah membuat sarangnya di atas bukit, di pohon kayu dan pada atap rumah. Sarangnya dibina daripada lilin yang terdapat dalam badannya. Lebah memakan madu bunga dan debunga.

Pembahagian tugas
Dala sesuatu kelompok, lebah dapat dibahagikan kepada tiga kasta, iaitu:
lebah ratu; lebah betina boleh bertelur
lebah pekerja; lebah betina tidak boleh bertelur; dan
lebah jantan.
Setiap jenis lebah mempunyai tugas masing-masing.
Ratu lebah mengawal keseluruhan kegiatan koloni lebah. Badannya lebih besar kerana pada peringkat larva ia diberi makan jeli raja yang kaya dengan khasiat. Tugas utamanya ialah bertelur. Lebah ratu yang aktif mampu bertelur kira-kira 2,000 biji sehari. Jangka hayat ratu lebah ialah 3 tahun.
Lebah pekerja (betina) mengumpul debunga dan manisan yang kemudian akan ditukarkan menjadi madu (oleh lebah pekerja) untuk lebah ratu dan anak lebah. Ada juga lebah betina yang bertugas membersihkan sarang dan menjaga anak-anak lebah. Jangka hayat lebah pekerja ialah 3 bulan atau lebih sedikit.
Lebah jantan bertugas mengawan dengan lebah ratu dan akan mati sebaik-baik sahaja selepas mengawan.

Sarang lebah yang telah diambil untuk mendapatkan madunya.

Kitar hidup
Kitar hidup lebah dibahagikan kepada empat peringkat:
telur;
larva;
pupa;
lebah dewasa. (terbahagi kepada 3 kasta utama, Ratu (lebah betina produktif), Raja (lebah jantan) dan lebah pekerja (lebah betina tidak produktif)
Telur yang menetas akan menjadi larva. Pada peringkat ini, lebah pekerja akan memberi larva makan debunga dan nektar. Nektar yang dikumpul oleh lebah pekerja sebahagiannya disimpan sebagai madu. Setelah beberapa hari, larva bertukar kepada pupa dan seterusnya menjadi anak lebah.


Surah An Nahl adalah surah ke-16 dalam Al Qur'an. Surah ini terdiri atas 128 ayat, termasuk golongan surah-surah Makkiyyah. Surah ini dinamakan An Nahl yang bererti lebah kerana di dalamnya, terdapat firman Allah SWT dalam ayat 68 yang ertinya : "Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah". Lebah adalah makhluk Allah yang banyak memberi manfaat dan kenikmatan kepada manusia. Ada persamaan antara madu yang dihasilkan oleh lebah dengan Al Quranul Karim. Madu berasal dari pelbagai sari bunga dan dia menjadi penawar bagi berbagai-bagai jenis penyakit manusia (lihat ayat 69). Sedang Al Quran mengandungi intisari dari kitab-kitab yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi zaman dahulu ditambah dengan ajaran-ajaran yang diperlukan oleh semua bangsa sepanjang masa untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. (Lihat surah (10) Yunus ayat 57 dan surah (17) Al Isra' ayat 82). Surah ini dinamakan pula "An Ni'am" bererti nikmat-nikmat, kerana di dalamnya Allah menyebutkan pelbagai jenis nikmat untuk hamba-hamba-Nya.

Sumber:wikipedia

Copyright © 2008 - Malmas Gemilang - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template